LATAR BELAKANG
Penubuhan Akademi Karyawan Sabah merupakan reaksi kepada sambutan positif Timbalan Ketua Menteri Sabah, merangkap Menteri Kewangan Sabah, Y.B. Datuk Abdul Ghafur Haji Salleh terhadap cadangan DBP Cawangan Sabah ke arah penubuhan sebuah institusi latihan dan penataran penulisan di Sabah semasa Majlis Penutupan Minggu Penulis Remaja, 26 Ogos 1995 di SMK Merotai Besar, Tawau.
Melalui hasil tulisan/karya mereka, penulis/karyawan mampu merobah minda rakyat. Penulis/karyawan memainkan peranan penting dalam usaha menerangkan kepada rakyat tentang misi dan visi Kerajaan mewujudkan Sabah Baru sebagai sebuah negeri yang bermaruah dan stabil, serba maju, moden dan canggih, dengan kualiti hidup dan kesejahteraan menyeluruh.
Sabah mempunyai penulis/karyawan yang berpotensi tinggi dan boleh dimajukan supaya dapat menghasilkan tulisan/karya yang dinamis dan kreatif, serta mampu mendorong rakyat Sabah untuk menerima perubahan dan berdaya saing dan keusahawanan. Oleh itu, sebuah akademi penulisan yang berperanan membentuk penulis/karyawan Sabah wajar ditubuhkan di negeri ini.
OBJEKTIF
Membina kumpulan penulis/karyawan yang mampu menghasilkan tulisan/karya yang mantap dan bermutu.
Membina kumpulan penulis/karyawan yang terlatih, berilmu, kreatif, dinamis, inovatif dan proaktif, berwibawa dan berketerampilan, bervisi, berdaya saing, dan mempunyai daya keusahawanan tinggi.
Membina kumpulan penulis/karyawan yang sayangkan negara dan bangsa, yang akan membantu merealisasikan usaha kerajaan mambina negara bangsa.
Membentuk kumpulan penulis/karyawan yang mampu menerangkan misi dan visi kerajaan.
Mengumpulkan penulis/karyawan berilmu dan berwibawa.
Mendokumentasikan hasil tulisan/karya para penulis/karyawan dan menilainya untuk tujuan pemberian hadiah tulisan/karya bermutu.
Menggalakkan sektor awam/swasta agar turut serta dlam pembangunan intelek di Sabah yang akan terlibat dalam usaha mewujudkan Sabah Baru dan mencapai Wawasan 2020.
MATLAMAT
Membina dan membentuk penulis/karyawan yang terlatih dan berupaya mendepani kepantasan dan kecanggihan teknologi dan ilmu pengetahuan, menjadikan bidang penulisan sebagai profesion yang berdaya keusahawanan. Hal ini tercapai melalui dua aspek penting iaitu pembinaan dan pembentukan keterampilan; dan pengisian dan pembinaan minda.
Membina dan melahirkan penulis/karyawan terlatih dan berilmu dalam bidang: Penulisan Kreatif dan Bukan Kreatif, Kebahasaan, dan Penerbitan.